Tuesday, October 18, 2005

GRAFITI

Monday, October 17, 2005

HaRi KeLUaRGa


SAYA sungguh gembira apabila Mama memberitahu bahawa kami sekeluarga akan pergi ke Costa Sand di Pasir Ris dan bermalam di tempat penginapan di sana. Pakcik-pakcik dan makcik-makcik dan ramai lagi termasuk ibu saya, sibuk mengatur pelbagai kegiatan untuk kami.

Apabila tiba harinya, kami pun ke sana. Sekitar 80 orang anggota keluarga turut serta. Pelbagai acara permainan diadakan. Acara yang paling saya sukai ialah tele-match. Kami semua terbahak-bahak ketawa apabila muka kami yang mengambil bahagian, begitu putih dilumuri tepung - macam hantu di siang hari. Kami juga seronok dapat menikmati makanan yang enak-enak belaka.

Pada hari terakhir di sana, kaum ibu pula membuat persembahan. Eh... Tak sangka rupanya ibu-ibu kami semua mempunyai bakat terpendam. Kami, golongan kanak-kanak, adalah yang paling gembira kerana mendapat bermacam-macam hadiah. Bagi saya, acara keluarga seperti ini sangat menarik bukan saja kami dapat merapatkan tali silaturahim malah mengenali lebih dekat kaum keluarga kerana maklumlah, apabila anggota keluarga terlalu ramai, ada juga yang kami kurang rapat kerana jarang berjumpa. Namun, pertemuan seperti ini merapatkan kami. Saya sangat berharap Hari Keluarga ini dapat diteruskan setiap tahun.

Dianah Nada Shalawah Kamaludin - Darjah 2,
Sekolah Rendah Goushang.

PUASA



Terbang tinggi si burung helang
Sedang berenang si anak angsa
Bulan Ramadan sudah menjelang
Sambutlah ia dengan gembira

Pagi-pagi makan bubur
Makan bersama Encik Amran
Berpuasalah kita dengan jujur
Allah akan memberi ganjaran

Pak Dolah menjual laksa
Laksa dijual di dalam pekan
Walaupun kita sedang berpuasa
Usah kita abaikan pelajaran


Muslihah Murdifi - Darjah 5
Madrasah Al-Irsyad

Lukisan Minggu Ini

Pelajar Kreatif


USIA saya lapan tahun dan saya ialah murid darjah 3 di sekolah CHIJ Katong. Seperti kanak-kanak lain, saya mesti belajar dengan rajin tetapi pada masa lapang saya suka menulis buku cerita yang bergambar. Semua gambar itu saya lukis sendiri manakala ibu saya menolong saya membuat salinan dan mengetipkan buku-buku cerita saya.
Saya jual buku cerita saya kepada kawan-kawan saya dengan harga 20 sen sebuah. Setakat ini saya sudah menulis tiga buah buku cerita dan hasil jualan buku-buku tersebut saya simpan di dalam tabung.Saya juga suka memasuki bermacam-macam jenis pertandingan menulis, melukis, mewarna atau apa saja asalkan saya berpeluang mendapat hadiah.
Saya suka lakukan kerja tangan seperti membuat gelang persahabatan (friendship band) yang saya jual dengan harga $1 kepada kawan-kawan saya dan kawan-kawan kakak yang belajar di sekolah yang sama. Saya juga berkongsi niaga dengan sepupu saya, Nadhirah Ismail, yang belajar di Sekolah Rendah Temasek. Saya membuat bermacam-macam bentuk gelang persahabatan dan sepupu serta kakak saya, Nur Aisyah, tolong menjualkannya kepada kawan-kawan mereka di sekolah. Mereka mendapat komisen bagi setiap gelang yang mereka jual itu.
Saya juga membuat tanda buku dengan menggunakan abjad-abjad nama dan memberi erti pada setiap abjad nama kawan-kawan saya dan sepupu saya. Setiap satu saya jual dengan harga $1. Setiap tanda buku itu berbeza-beza sebab saya menggunakan warna kegemaran dan nama mereka. Saya raih banyak keuntungan kerana selalu bertukar-tukar idea.
Saya suka membaca buku-buku cerita dan selalu cuba menjadi salah seorang murid yanng paling banyak membaca buku dalam kelas saya. Buku kegemaran saya ialah Captain Underpants dan buku inilah yang jadi inspirasi saya untuk menghasilkan tiga buku komik yang saya jual kepada kawan-kawan.

TULIS BUKU, KERJA TANGAN UNTUK DIJUAL
Oleh Nur Afifah ChristelleCamut
Berita Harian - 17 Oktober 2005

UntukMU Ibu



Umurku kini dua belas aku meningkat dewasa
Kini, sepuluh tahun pemergian ayah aku masih terus tertanya-tanya mengapa ayah pergi begitu sahaja? Walau pemergianmu takdir Allah tetapi mengapa? ayah kan masih punya keluarga untuk diberi nafkah
Kini... ibuku bekerja keras mengambil alih tugas untuk menampung keluarga dan biaya sekolah anak-anakya
Ibu... pengorbananmu terlalu besar insya-Allah bu... aku akan belajar bersungguh-sungguh aku mahu ke universiti menggenggam ijazah kemudian mencari nafkah untuk keluarga kita
Marilah bu... sama-sama kita menempuh semua ini dengan hati yang tabah
Aku tidak akan berputus asa malah semangatku membara dan aku bertekad satu hari nanti akan kubalas jua jasamu ibu pengorbanannya tidak terhingga dan terus terpahat dalam sanubariku
Untuk sementara ini aku berusaha keras memberi yang terbaik untukmu ibuku tersayang

Nur Rafiqah Samad,
Darjah 6, Sekolah Rendah Yumin

Berita Harian : 17 Oktober 2005

Selamat Datang

Lelaman khas ini ditujukan kepada adik-adik yang bersekolah rendah. Visi utama ialah meningkatkan kemahiran Bahasa Melayu dari segi penulisan dan komunikasi di samping menyemai, memupuk dan melestarikan budaya Melayu di kalangan generasi muda.