Monday, October 17, 2005

Pelajar Kreatif


USIA saya lapan tahun dan saya ialah murid darjah 3 di sekolah CHIJ Katong. Seperti kanak-kanak lain, saya mesti belajar dengan rajin tetapi pada masa lapang saya suka menulis buku cerita yang bergambar. Semua gambar itu saya lukis sendiri manakala ibu saya menolong saya membuat salinan dan mengetipkan buku-buku cerita saya.
Saya jual buku cerita saya kepada kawan-kawan saya dengan harga 20 sen sebuah. Setakat ini saya sudah menulis tiga buah buku cerita dan hasil jualan buku-buku tersebut saya simpan di dalam tabung.Saya juga suka memasuki bermacam-macam jenis pertandingan menulis, melukis, mewarna atau apa saja asalkan saya berpeluang mendapat hadiah.
Saya suka lakukan kerja tangan seperti membuat gelang persahabatan (friendship band) yang saya jual dengan harga $1 kepada kawan-kawan saya dan kawan-kawan kakak yang belajar di sekolah yang sama. Saya juga berkongsi niaga dengan sepupu saya, Nadhirah Ismail, yang belajar di Sekolah Rendah Temasek. Saya membuat bermacam-macam bentuk gelang persahabatan dan sepupu serta kakak saya, Nur Aisyah, tolong menjualkannya kepada kawan-kawan mereka di sekolah. Mereka mendapat komisen bagi setiap gelang yang mereka jual itu.
Saya juga membuat tanda buku dengan menggunakan abjad-abjad nama dan memberi erti pada setiap abjad nama kawan-kawan saya dan sepupu saya. Setiap satu saya jual dengan harga $1. Setiap tanda buku itu berbeza-beza sebab saya menggunakan warna kegemaran dan nama mereka. Saya raih banyak keuntungan kerana selalu bertukar-tukar idea.
Saya suka membaca buku-buku cerita dan selalu cuba menjadi salah seorang murid yanng paling banyak membaca buku dalam kelas saya. Buku kegemaran saya ialah Captain Underpants dan buku inilah yang jadi inspirasi saya untuk menghasilkan tiga buku komik yang saya jual kepada kawan-kawan.

TULIS BUKU, KERJA TANGAN UNTUK DIJUAL
Oleh Nur Afifah ChristelleCamut
Berita Harian - 17 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home